Saturday, June 4, 2011

French Savory Cakes

French Savory Cakes “Cake aux Olives”

Sekarang ini ialah cuti sekolah dan ditambah pula cuti di hujung minggu. Waktu begini ialah masa yang paling sesuai untuk para ibu aktif di dapur. Bukannya apa, perut anak-anak sentiasa saja lapar dan ada saja makanan yang diminta. Resipi kali ini kami perolehi daripada Bridonneau Carole, orang Perancis yang belajar bahasa Melayu di sini. Penyediaan kek ini sangat mudah iaitu kira-kira 25 minit sahaja (itupun kalau semua bahan sudah ada di rumah). Bahan-bahan tambahan seperti buah zaitun dan Frankfurter Ayamas boleh diganti dengan bahan lain mengikut selera anda. Kek ini sedap dimakan ketika panas atau sejuk mengikut citarasa masing-masing. Jika anda kreatif, hidangkan kek ini bersama dengan set hidangan salad.


Bahan-bahan

400gm tepung gandum
2 sudu kecil baking powder
3 biji telur
75 ml susu segar
75 ml minyak zaitun
1 sudu kecil garam
2 biji bawang putih (dicincang)
2 sudu besar serbuk keju Parmesan (Parmesan cheese)
6 biji buah zaitun (dihiris nipis)
1 batang Frankfurter Ayamas (dihiris nipis)
1/2 sudu kecil serbuk lada hitam

Sedikit parutan lobak merah
Sedikit hirisan daun bawang atau daun saderi

Penyediaan
  1. Panaskan ketuhar/oven pada suhu 180C - 200C. Kemudian, sediakan acuan roti (Loaf & Bread Pan, 9-inch x 5-inch) dengan menyapukan sedikit minyak makan dan tepung supaya kek ini tidak melekat. Boleh juga dilapiskan dengan parchment paper.
  2. Seterusnya, ayak tepung, garam dan baking powder bersama-sama.
  3. Cincang bawang putih, hiriskan buah zaitun, daun bawang atau daun saderi dan parut sedikit lobak merah secara berasingan. Hiriskan juga Frankfurter Ayamas.
  4. Selepas itu, pecahkan telur di dalam mangkuk yang berasingan dan pukul sehingga kembang. Kemudian, masukkan susu segar, minyak zaitun dan pukul hingga sebati. Seterusnya, masukkan semua bahan dari Langkah (2) dan Langkah (3). Adunan ini dikacau dengan tangan agar bahan dari langkah (3) tidak hancur. Kemudian, masukkan serbuk keju Parmesan dan serbuk lada hitam. Kacau lagi hingga sebati. Apabila selesai, adunan ini dimasukkan ke dalam acuan roti yang telah disediakan pada Langkah (1). Masukkan ke dalam ketuhar dan bakar selama 45 minit.
  5. Jika suka, letakkan lagi kepingan keju di atas kek ini.


Adunan “Cake aux Olives” di dalam acuan roti sebelum dibakar


Kepingan Keju Cheddar diletakkan di atas “Cake aux Olives” 1 minit
sebelum dikeluarkan dari ketuhar


Cadangan Set Salad


Anda boleh menyediakan set salad yang mudah di rumah. Campuran daun salad, mangga, tomato, timun, epal hijau dan daun basil digaul bersama dengan Keju Feta (Feta Cheese).



Selamat mencuba! Bon Appétit.

.

0 comments: